Cik Cindy Tan, seorang pengurus jualan, telah memohon kepada sebuah syarikat insurans hayat untuk membeli polisi insurans rawatan dan kesihatan yang boleh menampung perlindungan perbelanjaan rawatan sekiranya dia dimasukkan ke hospital.
Ejen insurans hayatnya menjelaskan bahawa polisi insurans rawatan dan kesihatan yang dijual oleh syarikat insurans hayat lazimnya merupakan pakej insurans hayat atau insurans hayat sementara dengan insurans rawatan dan kesihatan sebagai rider.
Terdapat beberapa pengecualian dalam bahagian insurans rawatan dan kesihatan yang dikenali sebagai syarat pra-wujud (pre-existing condition). Ia merupakan pengecualian standard bagi hampir kesemua insurans rawatan dan kesihatan.
Polisi tersebut akan mengecualikan semua keadaan yang telah dikenalpasti atau besar kemungkinan sudah diketahui sebelum polisi berkuatkuasa.
Ini juga termasuk beberapa jenis penyakit tertentu yang dikecualikan dalam jangka masa 12 bulan setelah polisi insurans dikeluarkan.
Jenis penyakit yang dikecualikan adalah seperti penyakit kencing manis, tumor termasuk sista, gastrik, hipertensi, batu karang pundi hempedu atau buah pinggang, katarak, buasir, masalah nasal, hernia dan lain-lain.
Bagaimanapun, penyakit ini akan dilindungi insurans sekiranya ia terjadi atau wujud selepas tempoh 12 bulan pertama. Ejen insuransnya menjelaskan bahawa 'syarat pra-wujud' lazim dikenakan ke atas semua polisi insurans rawatan dan kesihatan.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya membeli perlindungan kesihatan semasa muda dan sihat untuk memastikan keadaan mereka dilindungi sekiranya terkena penyakit selepas tempoh penyingkiran.
Dalam kes lain, Puan Sarjit Kaur, seorang suri rumahtangga, telah membeli polisi rawatan dan kesihatan daripada sebuah syarikat insurans hayat yang lain. Dia diberitahu sekiranya dia dimasukkan ke hospital, polisinya akan membayar balik sepenuhnya semua perbelanjaan perubatannya tetapi tertakluk pada syarat dan had di dalam polisi yang telah dibeli.
Namun ejennya menjelaskan bahawa polisi insuransnya hanya akan berkuatkuasa selepas 30 hari sekiranya dia mendapatkan rawatan perubatan bagi penyakit yang bukan disebabkan oleh kemalangan.
Tambah ejen tersebut, bagi rawatan yang berpunca daripada kemalangan, ia akan bermula sebaik sahaja polisi tersebut berkuatkuasa. Syarat 30 hari merupakan ciri lazim bagi hampir kesemua polisi insurans rawatan dan kesihatan.
Ini adalah beberapa istilah dan syarat penting tentang polisi insurans rawatan dan kesihatan yang harus diketahui oleh pengguna apabila mereka ingin membeli polisi ini. Semua ini telah termasuk dalam harga polisi tersebut.
Pengguna hendaklah memastikan bahawa mereka tidak tersilap membayar untuk dua polisi kerana faedah polisi tersebut adalah sama ada jenis indemniti atau berdasarkan pembayaran semula.
Mereka mesti memilih jenis polisi atau faedah yang mereka inginkan sebelum menandatangani sebarang kontrak.
Polisi penghospitalan dan pembedahan yang dibeli oleh Puan Sarjit Kaur merupakan pelan bayaran balik. Ini bermakna Puan Sarjit hanya boleh membuat sekali tuntutan daripada sebuah syarikat insurans sahaja untuk bayaran balik perbelanjaan perubatannya.
Sekiranya anda telah membeli beberapa polisi jenis ini, anda hanya boleh menuntut jumlah perbelanjaan yang melebihi had maksimum polisi pertama sahaja.
Insurans kemalangan dan penyakit kritikal pula berdasarkan prinsip indemniti. Bagi insurans kemalangan, jumlah yang diinsuranskan akan dibayar mengikut syarat polisi kemalangan tersebut.
Bagi polisi penyakit kritikal pula, bayaran sekaligus akan dibuat sekiranya orang yang diinsuranskan didiagnosiskan dengan mana-mana penyakit kritikal yang tersenarai dalam syarat-syarat polisi tersebut. Anda boleh menuntut lebih daripada sebuah syarikat untuk kes yang sama.
Namun, pihak penginsurans menghendaki anda mendedahkan dengan sepenuhnya dan secara jujur kesemua polisi insurans jenis ini yang telah dibeli ataupun sedang merancang untuk membeli. Ini adalah kerana pihak penginsurans mempunyai had jumlah diinsuranskan yang tertentu bagi setiap individu.
Pengguna boleh mendapatkan nasihat profesional daripada ejen-ejen yang berdaftar atau jabatan perkhidmatan pelanggan syarikat insurans hayat untuk maklumat lebih lanjut tentang jenis-jenis pelan insurans yang sedia ada.
Sebagai peringatan, anda hendaklah membaca dan memahami huruf bercetak halus polisi insurans yang dicadangkan sebelum menandatangani kontrak tersebut.
*Rencana ini telah diterbitkan dengan kerjasama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM). Rencana yang telah disiarkan boleh didapati melalui laman web LIAM www.liam.org.my.
No comments:
Post a Comment